Sunday, November 15, 2009
"SATU HATI" RAKAN NIAGA PETRONAS WILAYAH BARAT
Saturday, October 31, 2009
MOTIVASI KESERONOKAN BEKERJA - IMR, KKM & PKP UKM
Prof Hj Hanim Tahir sebagai speaker kedua banyak menyentuh mengenai komunikasi dan hubungan kemanusiaan yang berkesan agar lebih seronok bekerja. Ini kerana kajian yang dilakukan oleh Peter Drucker mendapati 50% daripada masalah pengurusan adalah berpunca daripada komunikasi.
KURUS MOTIVASI KESERONOKAN BEKERJA BERSAMA JABATAN KAWALAN PENYAKIT, KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
Kursus Motivasi Keseronokan Bekerja ini diadakan di Excel Training & Country Resorts, Lenggeng, Negeri Sembilan pada 23-25 Oktober 2009
Pn Rohani Hj Saad sebagai speaker pertama lebih menfokuskan kepada 'mind setting' peserta kursus serta analisis diri untuk mengenalpasti kekuatan dan kelemahan diri agar kelemahan dapat diatasi dan kekuatan diserlahkan lagi.
Y.Bhg Dato' Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah selaku speaker kedua menumpukan perbincangan kepada membetul dan memantapkan rutin fitrah serta berkongsi tentang petua dan teknik untuk lebih seronok bekerja dan dalam kehidupan seharian.
Sesi seterusnya dikendalikan oleh En Ebit Erawan yang mengendalikan bengkel keseronokan bekerja. Bengkel ini lebih kepada sesi bedah siasat untuk mengenalpasti apakah kelemahan atau kekurangan yang ada serta usaha-usaha untuk mengatasinya. Kursus berakhir dengan sesi perkongsian oleh En Ahmad Faizal yang menyentuh mengenai komunikasi dan hubungan kemanusiaan.
Renungan:-
"Hidup ini terlalu singkat...berusahalah menjadikan setiap hari yang kita lalui BERMAKNA, BERHARGA dan BERGUNA. Dunia sentiasa berputar...malam bertukar siang...dan siang berganti malam...cepatnya masa berlalu, usia meningkat, dari hari ke sehari kita lalui...tetapi adakah AMAL kita juga bertambah seiring dengan pertambahan usia. Sewaktu kanak-kanak kita bersih dan suci...tiada titik-titik noda dan dosa, namun apabila usia meningkat sepatutnya diri menjadi lebih suci kerana akal semakin matang tetapi malangnya kita tewas dengan godaan nafsu sendiri".
Monday, October 26, 2009
KEM CUTI SEKOLAH
KISAH-KISAH MOTIVASI
Salman Al-Farisi dan Abu Darda' adalah dua orang sahabat baik. Salman Al-Farisi berketurunan Parsi. Manakala Abu Darda' adalah sahabat nabi berketurunan Arab. Salman menyukai seorang gadis dan meminta Abu Darda' meminang gadis tersebut untuknya. Abu Darda' kemudian bertemu dengan ibubapa gadis tersebut untuk menyampaikan hajat sahabat baiknya. Malangnya pinangan tersebut ditolak kerana tidak ingin bermenantukan orang Parsi sebaliknya mereka sangat berkenan dengan Abu Darda' lalu menawarkan anak gadisnya kepada Abu Darda'. Ibubapa gadis tersebut berusaha memujuk Abu Darda' untuk memperisterikan anak mereka walaupun ditolak oleh Abu Darda'. Atas pujukan, rayuan dan usaha berterusan ibubapa gadis tersebut akhirnya Abu Darda' akur dalam keadaan hati yang berbelah bagi. Abu Darda' kemudiannya memperisterikan gadis tersebut.
JAMINAN SYURGA JIKA TIADA PERASAAN HASAD DENGKI DAN IRI HATI
Rasulullah saw bersabda: 'akan masuk kepadamu seorang ahli syurga sambil memegang kedua-dua sandalnya dengan tangan kirinya'. Kata Rasulullah saw kepada para sahabat sewaktu mereka berada di dalam masjid bersama Nabi. Kemudian masuk seorang lelaki sebagaimana yang disabdakan Nabi. Sesudah memberi salam dia duduk bersama kami. Jelas Anas bin Malik dalam kitab Tanbihul Ghafilin oleh Abullaits Assamarqandi.
Keesokan harinya Rasulullah saw bersabda sama seperti sebelumnya. Masuk lelaki yang sama dan hari ketiga Rasulullah bersabda lagi dan peristiwa sama berulang. Ketika lelaki itu bangun untuk pulang, Abdullah bin Amr Al-Ash mengekorinya sambil berkata, "Berlaku sedikit pertengkaran antaraku dan ayahku sehingga aku bersumpah tidak akan bertemunya selama tiga malam, maka jika engkau tidak keberatan saya ingin bermalam di tempatmu selama tempoh berkenaan'. Jawabnya ' baiklah'.
Abdullah bin Amr menceritakan bahawa ia bermalam di tempat lelaki itu dan ternyata orang itu tidak bangun malam, tidak berpuasa sunat, hanya jika tidur berzikir sehingga bangun fajar, dan jika berwuduk sempurna dan sembahyang dengan khusyuk. Demikian yang diperhatikan oleh Abdullah bin Amr selama 3 hari 3 malam dan lelaki itu tidak berkata-kata kecuali yang baik. Setelah 3 malam saya berasa dia tidak mempunyai amal yang berlebihan lalu saya berkata kepadanya "sebenarnya antaraku dan ayahku tidak ada apa-apa masalah, tetapi saya mendengar Rasulullah saw bersabda dalam tiga hari majlis berturut-turut "akan tiba padamu ahli syurga". Tiba-tiba engkau datang, kerana itu saya ingin mengetahui apa amalmu dan saya berusaha bermalam di tempatmu untuk meniru amalmu tetapi ternyata kepadaku bahawa engkau tidak berlebihan". "Apakah yang engkau lakukan sehingga nabi saw bersabda sedemikian"? Jawabnya:" Tidak ada melainkan apa yang sudah engkau lihat". Maka aku meninggalkannya tetapi beliau memanggilku semula dan berkata "Amalku tidak lebih melainkan apa yang sudah engkau saksikan itu, namun saya tidak iri hati atau dengki pada seseorang muslim terhadap segala ia mendapatnya". Lalu Abdullah bin Amr berkata "Inilah yang dilakukan engkau sehingga Rasulullah saw bersabda sedemikian dan itulah yang tidak dapat kami laksanakan".
Renungan Bersama: Amalan-Amalan Untuk Menjadi Ahli Syurga
1. Jangan iri hati atau dengki kepada sesiapa saja.
2.Wuduk dengan sempurna dan Solat dengan Khusyuk.
3. Tidur sambil berzikir hingga terlena.
4. Berkata-kata yang baik sahaja.
CONTOHI KEIMANAN ASHABUL UKHDUD, ASHABUL KAHFI DAN KELUARGA YASIR
Ashabul Ukhdud (orang-orang yang dicampakkan dalam parit api yang bernyala-nyala), merupakan generasi manusia yang hanya beberapa saat menerima Islam sebagai pegangan hidup hingga ke akhir hayat, namun mereka diuji sama ada mahu meninggalkan agama Islam yang dipegangnya ataupun ingin selamat daripada seksaan dengan menyembah raja yang zalim. Akhirnya mereka tetap memilih Islam yang bertuhankan Allah dan terus dicampakkan dalam parit, tidak kira orang tua, wanita, kanak-kanak, mahupun bayi yang baru dilahirkan.
Begitu juga sikap kental golongan Ashabul Kahfi, di mana kisah mereka dirakamkan Allah dalam surah Al-Kahfi, jelas mangajak seluruh umat Islam agar berakidah seperti mereka, yang hanya takut kepada Allah. Ia merupakan satu kisah yang cukup menarik untuk dikongsi oleh segenap individu muslim hari ini, yang meletakkan Islam sebagai agama yang terbaik antara agama-agama yang ada di dunia.
Tidak kurang juga kisah penderitaan yang dialami oleh keluarga Yasir di zaman baginda Rasulullah s.a.w., isterinya Sumaiyah (wanita pertama syahid sebelum hijrah) dan anaknya, Ammar, di mana Yasir dan Sumaiyah hanya beberapa hari memeluk Islam di tangan anaknya di kalangan hamba sahaya, mereka diuji dengan pelbagai tindakan kezaliman yang dilakukan oleh pembesar-pembesar Quraisy bagi memastikan mereka meninggalkan agama Islam yang menjadi pilihan terakhir mereka. Tapi apakah sebenar hubungan peristiwa berkenaan di atas dengan agenda umat Islam hari ini? Ia tidak lain, agar mereka menjadikan al-Quran sebagai rujukan utama untuk melonjakkan diri menjadi insan-insan yang dinaikkan taraf di sisi Allah s.w.t. Mengapa tidak, kalau kisah di atas menceritakan bagaiamana mereka yang hanya beberapa saat, hari menerima Islam tetapi tetap berpegang teguh tanpa rasa ragu dan goyah, bagaimana pula dengan kita hari ini. Tanyalah diri sendiri, adakah kita baru seminggu memeluk agama Islam, atau baru sebulan, malah kebanyakan daripada kita berpuluh-puluh tahun menjadi orang Islam, tetapi mengapa masih ramai yang tidak percaya kepada undang-undang Islam dengan memilih fahaman-fahaman ciptaan manusia yang serba kekurangan dalam segenap hal. Tidakkah kita rasa malu dengan menikmati keindahan bumi ciptaan Allah serta menghirup udara segar pemberian-Nya sedangkan kita tidak sama dengan mereka yang terdahulu daripada kita seperti yang telah ditegaskan di atas.
Marilah kita sama-sama menginsafi dan sering melakukan muhasabah diri sebelum kita dihisab di hadapan Allah di mahkamah-Nya pada hari Kiamat, di mana pada hari itu tidak ada naungan melainkan naungan Allah di waktu matahari yang panas terik berada hanya sejengkal di atas kepala, yang boleh menolong kita pada hari itu ialah Nabi Muhammad s.a.w itupun berdasarkan amalan, kepercayaan, pegangan yang betul kepada agama Islam.
AKU MAHU TINGGALKAN DUNIA DALAM SUJUDKU
SUATU malam ketika aku sedang nyenyak tidur tiba-tiba aku melihat seolah-olah ayahanda menjelma di hadapanku. Perasaan kasih pada ayahanda tidak dapat ditahan-tahankan lagi, lalu aku berteriak: "Ayah... sudah lama tiada berita dari langit sejak ayahanda tiada!" Waktu itu aku terlalu rindu setelah beberapa hari ayahanda wafat.
Ketika aku sedang memanggil-manggil ayahanda, muncul pula para malaikat bersaf-saf lantas menarik tanganku, membawa aku naik ke langit. Apabila aku mendongak ternampaklah istana-istana indah yang dikelilingi taman-taman pawana serta anak-anak sungai mengalir saujana mata memandang. Keindahan istana demi istana dan taman demi taman berjajaran di hadapan mata begitu mengasyikkan. Dari celahan pintu-pintu istana tersebut menjelmalah para bidadari seolah-olah patung bernyawa yang sangat jelita, sentiasa tersenyum dan bergelak ketawa. Bidadari itu berkata kepadaku: "Selamat datang wahai makhluk yang diciptakan syurga untuknya, dan kerana ayahanda kamu, kami diciptakan..."Malaikat itu terus membawa aku naik ke langit seterusnya sehingga memasuki sebuah tempat yang dipenuhi istana-istana yang lebih indah daripada sebelumnya. Cahayanya bergemerlapan. Dalam setiap istana itu terdapat rumah-rumah berisi pelbagai perhiasan indah yang belum pernah dilihat mata, tidak terdengar di telinga dan tidak pernah tersirat di hati. Penghuni istana-istana ini sentiasa bergembira, bergelak ketawa dan ceria. Di istana itu terdapat pelbagai kain sutera nipis dan tebal. Juga terdapat selimut-selimut daripada sutera dengan pelbagai warna dan corak. Di atas rak-rak kelihatan pelbagai jenis gelas diperbuat daripada emas dan perak yang sungguh menawan. Pelbagai jenis hidangan makanan, buah-buahan serta air minuman yang lazat dan enak tersedia untuk dimakan. Pemandangan di taman-taman pula sungguh memukau dengan aliran sungai yang warnanya lebih putih daripada susu, rasanya lebih manis daripada madu dan baunya lebih semerbak daripada kesturi.
Aku yang kehairanan dan takjub lantas bertanya: "Untuk siapakah tempat-tempat indah sebegini dicipta? Apa nama sungai-sungai yang harum mewangi ini? "Malaikat-malaikat itu menjawab:"Tempat ini adalah Firdaus, tempat paling tinggi dan tiada lagi syurga di atasnya. Syurga Firdaus ini khas untuk singgahsana ayahandamu, semua rasul, nabi, para syuhada dan syiddiqun yang dicintai Allah. Sungai ini bernama al-Kautsar yang telah Allah janjikan kepada ayahandamu. "Aku bertanya lagi: "Di mana ayahandaku? "Malaikat-malaikat menjawab: "Sebentar lagi ayahandamu akan datang menjemputmu!" Tidak lama kemudian aku ternampak istana-istana yang sangat putih dan permaidani yang tersangat indah. Tiba-tiba aku sudah berada di atas permaidani yang terbentang di atas singgahsana. Aku ternampak ayahandaku sedang berehat di atas singgahsana tersebut dikelilingi sekelompok orang yang tidak dikenali. Ayahanda menarik tanganku dan mencium dahiku berkali-kali. Ayahanda berkata: "Selamat datang wahai puteriku!" Lalu ayahanda meletakkan aku di atas pangkuannya dan berkata lagi:"Wahai puteriku, tidakkah engkau lihat apa yang telah dijanjikan Allah kepadamu dan yang akan engkau perolehi?"Ayahanda menunjukkan istana-istana yang disaluti bermacam-macam hiasan yang indah menawan serta berkilau-kilauan, saujana mata memandang.
Ayahanda berkata: "Inilah tempat tinggalmu, kediaman suamimu, kedua-dua anakmu serta orang-orang yang mencintaimu dan mencintai mereka. Bergembiralah... engkau akan mengikut ayahanda datang ke sini beberapa hari lagi..."Aku berkata: "Kalau begitu senanglah hatiku dan bertambah rindu pada ayahanda."Selepas berjumpa beberapa ketika dengan ayahanda, aku terjaga. Tubuhku menggigil dan terasa takut yang amat sangat. Aku masih teringat-ingat bisikan ayahanda. Aku akan mengikut langkah ayahanda beberapa hari lagi. Aku masih ingat ayahanda berkata perkara yang sama sebelum wafat. Ayahanda pernah membisikkan bahawa akulah orang pertama yang menyahut panggilan Ilahi selepasnya. Sejak hari ayahanda wafat lagi aku selalu menangis dan bersedih. Perasaan sedih makin terasa selepas bermimpi bertemu ayahanda. Aku tahu tidak lama lagi aku akan meninggalkan dunia fana ini untuk bersama ayahanda tercinta di akhirat yang kekal, aman dan sentosa.
Aku menceritakan mimpi tersebut pada suamiku dan juga pembantuku Asma binti Umays. Aku beritahu saat ajal hampir tiba. Asma menunjukkan pelepah kurma basah untuk membuat usungan seperti yang dilihat dibuat di Habshah. Aku tersenyum apabila melihat keranda itu. Aku berwasiat supaya jenazahku nanti dikebumikan pada malam hari agar tiada seorang pun yang marah apabila melihat jenazahku. Aku juga meminta suamiku supaya menikahi Umamah, saudara perempuanku. Umamah menyayangi anakku seperti aku menyayangi mereka. Setelah merasa saat ajal hampir tiba aku membawa dua orang anakku menziarah makam ayahanda. Tubuhku terasa sangat lemah untuk memijak. Tapi aku gagahi juga untuk bersembahyang dua rakaat antara mimbar dan makam ayahanda. Tidak lama lagi jasadku akan berpisah dengan roh. Aku akan meninggalkan dua puteraku. Lalu aku peluk dan cium kedua-duanya bertubi-tubi. Sayang, ibumu terpaksa pergi dulu...Selamat tinggal sayangku, puteraku dan suami tercinta. Biarlah aku menghadap Ilahi tanpa tangisan sesiapa. Aku tidak sanggup melihat tangisan puteraku dan suamiku. Biarlah mereka berada di sisi makam ayahanda dan suamiku bersembahyang. Kalau boleh aku mahu tinggalkan dunia ini dalam bersujud pada Ilahi. Aku terus meninggalkan dua puteraku dan membiarkan suamiku bersembahyang di masjid. Aku mengambil ramuan hanuth, sejenis pengawet mayat yang ayahandaku biasa gunakan. Aku siramkan air ramuan itu ke seluruh tubuhku. Kemudian aku memakai kain sisa kapan ayahandaku. Selepas itu sekali lagi aku memanggil Asma binti Umays yang sentiasa mengurus dan merawatku. Pada Asma aku berpesan, "Wahai Asma, perhatikanlah aku. Sekarang aku hendak masuk ke rumah membaringkan tubuhku sekejap. Jika aku tidak keluar, panggillah aku tiga kali dan aku akan menjawab panggilanmu. Tetapi jika aku tidak menjawab, ketahuilah aku telah mengikut jejak langkah ayahandaku!" Setelah sejam berlalu, Asma memanggil-manggil nama wanita itu tetapi tiada sebarang jawapan. Ketika penjaga itu masuk, dia terkejut apabila melihat wanita kurus cengkung itu meninggal dunia dalam sujudnya. Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun...***********
Aku dalam cerita di atas ialah Fatimah az-Zahra, anak Rasulullah dengan isteri pertamanya Siti Khadijah. Fatimah meninggal dunia dalam usia 28 tahun setelah 40 hari Rasulullah s,a.w. wafat dan jenazahnya dimakamkan di perkuburan Baqi' di Madinah. Masih adakah wanita solehah seperti Fatimah di zaman moden ini?
Sumber: Mastika, Mei 2006
Tuesday, October 20, 2009
CETUSAN HATI ROHANI
Hidup ini sebuah persinggahan....justeru, dalam kembara kita seharian..ingatlah bahawa bila-bila masa saja kita boleh kembali mengadap Yang Maha Pencipta. Soalnya...apa, berapa, banyak mana, setinggi mana dan berkualiti atau tidak bekalan yang bakal kita sembahkan kepada Allah SWT. Mampukah kita buktikan bahawa kita adalah Hambanya yang Taat, Setia dan Cintakannya seperti mana kita cintakan harta, keluarga, kerjaya, kereta, rumah, anak-anak dan sebagainya..Ketika di dunia, kita seringkali menghabiskan masa dengan perkara-perkara yang sia-sia...kekadang masa berlalu begitu saja. Kita jarang menghitung saat-saat yang berlalu setiap hari...sedikit sangat kita isikan dengan amal-amal yang bakal membantu kita nanti..Itulah sebabnya kenapa Allah bersumpah...Demi Masa, sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian...melainkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh...dan mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran & kesabaran....
Sahabat....bayangkan betapa berharganya masa yang ada jika kita berada di dalam situasi ini...
Team Building Bank Negara Malaysia
Kursus Teambuilding untuk Jabatan Kewangan, Bank Negara Malaysia yang diadakan pada 4-6 April 2008 di Excel Training & Country Resorts, Lenggeng, Negeri Sembilan.
Penulis diamanahkan sebagai speaker pertama, manakala Y.Bhg Dato' Dr Hj Mohd Fadzilah Kamshah merupakan speaker kedua dan Prof Hj Hanim selaku speaker ketiga bagi kursus tersebut. Sedikit petikan dari sesi ceramah yang dikendalikan...
Renungan Bersama:-
"Allah tidak pandang mana-mana kumpulan/pasukan yang tidak bersatu hati dan caci mencaci antara satu sama lain". Jika kita berpecah belah, caci mencaci, mengata sesama sendiri atau mengumpat, maka Allah tidak akan pandang kumpulan kita. Tanpa pandangan Allah bermakna tiada Rahmat untuk kita. Akibatnya, macam-macam dugaan dan masalah rumit yang timbul...Oleh itu, marilah sama-sama kita usahakan agar pasukan kerja kita kembali bersatu hati....antara caranya ialah ingati kebaikan orang pada kita dan lupakan kebaikan kita pada orang, ingati kesalahan kita pada orang dan lupakan kesalahan orang pada kita, sentiasa doakan sahabat-sahabat dan bos kita, solat berjemaah, saling bersalaman & bertukar senyuman setiap hari.
MUHASABAH DIRI
Pn Rohani Saad bersama En Ebit Erawan yang merupakan trainer Excel Training sedang mengendalikan sesi muhasabah diri bersama peserta kursus Superkid Excel 2009. Kem sebegini dianjurkan oleh Excel Training & Consultancy (M) Sdn Bhd yang diketuai oleh Y.Bhg Dato' Dr Hj Mohd Fadzilah Kamshah diadakan setiap kali cuti sekolah.
Ikrar dan janji untuk tidak meninggalkan solat, taat kepada perintah Allah, Rasul dan Ibubapa, rajin belajar, berakhlak mulia.